News & Events

MyCreative in the news as well as the latest happenings in Malaysia’s creative industry.

MyCreative melantik Junady Nawawi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan

Petaling Jaya, 11 Oktober 2021 - MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative) telah melantik Junady Nawawi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan atau Group Chief Executive Officer (GCEO).

Pelantikan ini amat bersesuaian dengan keadaan semasa pada ketika Agensi Kerajaan ini sedang giat menjalankan beberapa siri inisatif seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA), dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk industri kreatif bagi membantu perniagaan dan penggiat industri kembali pulih dalam mendepani cabaran pandemik ini.

Pengerusi MyCreative, Noor Azmi Said berkata, “Tugas GCEO MyCreative Ventures memerlukan kemahiran yang pelbagai termasuk pengalaman dalam kepimpinan, kebolehan dalam menguruskan pelbagai pemegang taruh berbeza termasuk Kementerian dalam Kerajaan, pemain ekosistem kreatif dan sebagainya, di samping mempunyai keazaman untuk menjadikan Ekonomi Jingga sebagai keperluan kepada individu, penggiat kreatif tempatan dan negara.”

Noor Azmi menambah, “Dengan perhatian yang kini bertumpu kepada fasa pemulihan selepas pembukaan sektor ekonomi, MyCreative yakin dengan kemampuan Junady untuk menggerakkan usaha dalam fokus untuk memacu ekonomi jingga Malaysia melalui inisiatif pembangunan ekosistem yang dibentuk secara strategik, bantuan kewangan dan pelaburan inovatif, untuk meningkat dan menggandakan sumbangan ekonomi melalui pasaran tempatan dan antarabangsa bagi melonjakkan peralihan Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi berdasarkan trajektori pembangunan negara pada masa ini.”

“Ekonomi jingga akan menjadi sebahagian daripada usaha untuk mencapai aspirasi kerajaan bagi industri ini dengan sumbangan RM31.9 bilion kepada keluaran dalam negeri kasar sebelum 2025, seperti yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) baru-baru ini,” kata Noor Azmi.

Junady mempunyai pengalaman lebih dua dekad merangkumi aspek tadbir urus korporat seperti kewangan, perancangan strategik, strategi pelaburan dan penstrukturan semula selain perancangan dan pembangunan sektor awam, semasa memegang jawatan dalam entiti terkemuka seperti BIMB Holdings Berhad, Rothschild Malaysia, UEM Group, Renong Berhad, Aseambankers Malaysia (kini dikenali sebagai Maybank Investment Bank) dan PriceWaterhouse Coopers (PWC).

Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarah Kanan Perancagan Strategik di Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab di antaranya untuk  mengemukakan cadangan-cadangan intervensi strategik kepada Kerajaan Malaysia dalam membentuk pelan jangka panjang ekonomi serta penglibatan sosio-ekonomi Bumiputera, selaras dengan RMK12 dan perancangan melangkaui 2030.

Junady berkata,”Saya berbesar hati dengan keyakinan Lembaga Pengarah MyCreative dan teruja untuk bersama kumpulan yang berpengalaman ini untuk menambah nilai, menyumbang kepada pembangunan industri kreatif, dan memastikan bakat-bakat dalam industri negara ini diangkat untuk menjadi asas kepada pembangunan ekonomi Malaysia.”

Junady memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Ekonomi daripada London School of Economics & Political Science dan ahli Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA)

 

https://www.theedgemarkets.com/article/mycreative-ventures-names-junady-nawawi-new-group-ceo