News & Events

MyCreative in the news as well as the latest happenings in Malaysia’s creative industry.

Bajet 2021 - Kenyataan daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA)

Bajet 2021 - Kenyataan daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA)

Kumpulan MyCreative Ventures amat mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul mengenai RM15juta yang diperuntukkan untuk sektor Seni & Budaya bagi tahun 2021.

Izan Satrina Mohd Sallehuddin, CEO Cultural Economy Development Agency (CENDANA) berkata,“Kami amat berbesar hati dengan pengumuman berkenaan RM 15juta bagi tujuan pendanaan bagi tahun 2021. Ia adalah sebuah pengumuman yang amat menggalakkan bagi sektor Seni & Budaya sekaligus menunjukkan Kerajaan Malaysia amat prihatin tentang kepentingan peranan Seni & Budaya dalam kehidupan seharian kita dan juga negara ini, meskipun berhadapan dengan krisis COVID-19. Peruntukan ini mengutuhkan lagi komitmen Kerajaan dalam mengutamakan sektor Seni & Budaya dalam polisi kerajaan dan juga mengiktiraf wawasan yang terkandung di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Berdasarkan soal selidik yang dijalankan baru-baru ini, sebanyak 93% daripada golongan artis dan pekerja Seni & Budaya di Malaysia telah terkesan secara negatif oleh COVID-19, dan 70% daripada mereka hampir atau hilang punca pendapatan mereka sepenuhnya. Justeru, peruntukan sebanyak RM 15juta ini memberikan CENDANA keyakinan untuk terus maju ke hadapan dalam menyalurkan bantuan dan sokongan kritikal kepada golongan penggiat Seni & Budaya terutamanya dalam sektor seni persembahan, seni visual, muzik independen dan kraf (merujuk kepada usaha dibawah Pelan PENJANA untuk Industri Kreatif oleh MyCreative Ventures), membolehkan penggiat seni, pekerja budaya, kolektif dan organisasi seni sama ada di studio, di pentas mahupun di jalanan, untuk meneruskan operasi dan mencipta karya seni yang terbaik; seterusnya memberi peluang kepada khalayak ramai untuk menikmati dan menghayati pengalaman seni yang berkualiti tinggi.

Kami ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin dan Menteri Kewangan YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz terhadap dedikasi mereka dalam mengetengahkan keperluan sektor ini pada hari ini. Kami juga amat berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah; warga Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia; dan MyCreative keatas bimbingan yang telah diberikan.”

#teguhkitamenangbersama #budget2021