SIARAN MEDIA

Permohonan Dana Kandungan Digital Industri Muzik 2023 Dibuka

PERMOHONAN DANA KANDUNGAN DIGITAL INDUSTRI MUZIK 2023 DIBUKA

KUALA LUMPUR, 24 MAC 2023 – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui agensi pelaksana iaitu Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) telah membuka permohonan bagi Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik 2023 bermula 23 Mac 2023 dan akan ditutup secara berperingkat. Sebanyak RM10 juta diperuntukkan kepada penggiat industri muzik melalui peluang pembiayaan dana sehingga RM300,000. DKD Industri Muzik 2023 diperuntukkan oleh Kerajaan bagi memudahkan dan menggalakkan penggiat industri dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan muzik yang berdaya cipta serta berupaya dipasarkan dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Dana ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa, Dana Kebolehpasaran (Domestik) Create 2 Market, dan Dana Persembahan Muzik. Nilai geran yang ditawarkan pula berjumlah RM100,000 (Create 2 Market) dan RM300,000 (Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa dan Dana Persembahan Muzik). Pemilihan penerima bagi ketiga-tiga dana ini akan dilaksanakan berasaskan merit agar dapat memberi sokongan mampan dalam membangunkan projek serta kandungan muzik yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. Tahun lalu sebanyak RM3.6 juta DKD Persembahan Muzik 2022 telah diluluskan yang memberi tumpuan kepada penganjuran acara berbentuk persembahan atau konsert. Pembukaan program DKD Industri Muzik ini diharap dapat merealisasikan iltizam Kumpulan MyCreative dalam menyokong Industri Kreatif negara, terutamanya Industri Muzik. Maklumat lanjut mengenai DKD Industri Muzik 2023, layari http://mycreative.com.my/dkdmuzik_2023.

Dikeluarkan oleh:

Kumpulan MyCreative

Read More
Other Press Releases